"Saya akan terus bermain untuk pasukan Melaka United bagi musim depan," demikian pengesahan yang dibuat penyerang, Ilija Spasojevic, untuk kekal bersama skuad itu bagi menghadapi Liga Super 2017.

Dengan pengumuman rasmi itu, maka sudah cukup empat kouta pemain import Melaka United.

Tiga pemain import lain ialah bekas pemain pasukan kebangsaan Iran, Omid Nazari; bekas pemain DRB-Hicom, Godwin Antwi, dan pemain kelahiran Argentina, Sergio Aguero.

Spasojevic juga memaklumkan kepada pengurusan untuk menolak semua tawaran kerana ingin fokus mengetuai skuad Hijau Putih bagi musim depan.

"Setelah banyak kenyataan dan spekulasi palsu mengenai masa depan saya, maka saya rasa bertanggungjawab untuk memberitahu kepada penyokong mengenai perkara ini," tambahnya.

Desas-desus perpindahan penyerang dari Montenegro itu mula tersebar sejak Oktober lalu apabila Selangor dan Pahang mengatakan berminat untuk menggunakan khidmatnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Melaka United Soccer Association (MUFC), Datuk Wira Yusoff Mahadi, sebelum ini tidak memaksa Spasojevic, sebaliknya menyerahkan kepada pemain berkenaan untuk membuat keputusan mengenai masa depannya.

Setelah menjaringkan 27 gol pada musim lepas, Spasojevic turut merakamkan penghargaan buat pasukan yang telah membuat tawaran kepadanya.