Kesemua pemain dan pegawai pasukan Sabah bakal kembali semula ke padang latihan selepas saringan COVID-19 mereka disahkan negatif oleh pihak kesihatan.

Pengurusnya, Henry Soimpon, ketika dihubungi berkata keputusan ujian itu juga telah diserahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan kini mereka hanya menunggu 'lampu hijau' bagi memulakan latihan.

"Syukur semuanya negatif (keputusan saringan ) dan kini kami hanya tinggal menunggu kebenaran daripada pihak MFL untuk memulakan latihan.

"Dapat kembali semula ke padang untuk berlatih dalam masa terdekat ini memang satu berita baik dan pihak pengurusan juga akan pastikan latihan nanti akan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan MFL serta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya lagi.

Henry berkata, dapat kembali berlatih di padang juga satu perkembangan baik dalam persiapan skuad Tambadau untuk mengharungi saingan Liga Super yang dijangka bersambung semula September depan.

"Berlatih di rumah atau di kawasan awam dengan berlatih di padang memang berbeza, kita harapkan tahap kecergasan pemain akan lebih meningkat selepas ini.

"Saya percaya pengendali pasukan, iaitu Kurniawan (Dwi Yulianto) bersama barisan kejurulatihan yang lain mempunyai cara mereka sendiri untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan walaupun keadaan latihan nanti sedikit berbeza," katanya.