Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan bekas penyerang Melaka United (MU), Marko Simic, hampir pasti menjadi milik The Red Warriors (TRW) untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Penyerang kelahiran Croatia berusia 30 tahun itu menjadi rebutan banyak pihak berikutan prestasi cemerlangnya, termasuk membantu Melaka United kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Presiden KAFA , Bibi Ramjani Ilias Khan, menjelaskan keyakinan itu bersandarkan janji Simic yang akan hadir ke Kota Bharu, Khamis ini bagi perbincangan lebih lanjut terhadap kontrak yang bakal ditawarkan.

“Perbincangan antara kami (melalui aplikasi WhatsApp) positif dan saya boleh mengesahkan 90 peratus Simic akan menjadi milik Kelantan bagi saingan Liga-M musim depan.

“Kami akan menawarkan kontrak selama setahun dan jika dia menunjukkan prestasi terbaik, tambahan setahun lagi akan diberikan berdasarkan persetujuan bersama,” katanya.

Ditanya mengenai kuota pemain import Asean, Bibi Ramjani mengesahkan penyerang Filipina, Misagh Medina Bahadoran, menjadi pilihan panel pemilih KAFA untuk berganding dengan Simic.

“Bahadoran yang juga bekas pemain kebangsaan Filipina akan hadir pada Jumaat ini dalam majlis jamuan ramah mesra KAFA bersama persatuan bola sepak jajahan (PBJ) dan peminat di Kok Lanas,” katanya.

Untuk rekod, TRW sudahpun mengikat kontrak dengan bekas pemain UiTM FC, Do Dong Hyun dan pertahanan Brazil, Cassio Francisco De Jesus, selain mengekalkan pemain tengah kreatif, Margaro Lima Gomis.