Bekas tonggak import Melaka United, Labinot Harbuzi atau Labi, memohon maaf kepada pihak pengurusan Melaka United Football Club (MUFC) dan penyokong atas status Facebook yang pernah dimuat naiknya sebelum ini yang mendakwa skuad Hang Tuah masih lagi berhutang dengannya.

"Jika anda semua melihat saya melakukan kesilapan, saya memohon maaf atas apa juga yang berlaku. Saya mengucapkan semoga berjaya kepada pemain, pengurusan dan penyokong Melaka United,” katanya menerusi laman Facebooknya semalam.

Labi menyatakan tindakannya sebelum ini tidak bermaksud mencalarkan imej Melaka United, apatah lagi melukakan hati penyokong kelab.

Dia turut menyatakan semusim bersama Melaka United merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna dengan kumpulan penyokong terbaik yang sentiasa menyokong skuad tersebut dalam terus mencipta kemenangan.

Labi mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad bimbingan Eric Williams menghadapi Liga Super 2017.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Melaka United, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menggelar tindakan Labi itu sebagai sesuatu yang 'nakal' apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.

Namun, menerusi status terbaharu Labi, pemain kelahiran Sweden itu berkata pihak pengurusan ada menghubunginya bagi menjelaskan tuntutannya yang merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.