Kapten Felda United, Shukor Adan, mengakui tidak mempunyai masalah untuk berkerjasama dengan jurulatih baru The Fighters, Azmi Mohamed, kerana pernah beraksi bersama ketika di awal kariernya hampir dua dekad lalu.

Felda United membuat kejutan apabila melantik Azmi sebagai pengendali The Fighters, semalam.

Mengetepikan calon popular, Mehmet Durakovic, bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim II itu menggantikan tempat Irfan Bakti yang meletak jawatan hujung bulan lalu.

Shukor mengakui sesiapa pun jurulatih mereka, setiap pemain perlu terus komited untuk memastikan skuad Felda lebih cemerlang dalam saingan musim depan.

"Dia belum pernah menjadi jurulatih saya, tetapi kami pernah bermain bersama, ketika itu saya masih muda.

"Dalam etika kerja antara saya dengan dia, dia merupakan coach saya dan dia adalah bos saya. Jadi saya rasa, semua pemain harus memberikan komitmen penuh, seperti mana yang mereka berikan ketika bersama coach Irfan Bakti," ujar Shukor.

Pandangan sama turut disuarakan oleh perancang tengah, Syahid Zaidon, yang berasakan kehadiran Azmi mampu untuk memberikan impak berbeza buat The Fighters.

"Mungkin dengan penambahan pemain baru yang dibawa oleh coach Azmi akan memberikan impak kepada pasukan. Kami selaku pemain perlu melakukan yang terbaik dan Insya-Allah untuk saingan AFC tahun hadapan, kami mampu untuk melakukan yang terbaik," kata Syahid.

Skuad Felda menjalani latihan hari ini tanpa penyerang import, Francis Forkey Doe, yang dikhabarkan sudah ditamatkan kontrak menjelang aksi terakhir bertemu Kedah di Alor Setar, Sabtu ini.