Shahrul yakin Perak ada pengganti Brendan

Oleh Azizan Hashim 21 Disember 2019 190
Shahrul yakin Perak ada pengganti Brendan
Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, yakin pasukannya mampu menyerlah dalam kancah Liga Malaysia 2020 meskipun kehilangan beberapa pemain, termasuk pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, yang menyertai Selangor.

Shahrul berkata ini kerana terdapat beberapa pemain muda berpotensi untuk diketengahkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain itu. 

"Saya rasa ada yang mampu menggantikan Brendan, terutama pemain muda. Ada hikmah mereka akan mengambil cabaran ini dan saya sangat yakin dengan semangat yang ditunjukkan, mungkin mereka akan lebih menyerlah daripada Brendan.

"Bagi saya juga, keluar masuk pemain ini adalah perkara biasa untuk setiap pasukan. 

"Kami sentiasa positif, kami masih lagi bersama Perak dan kami akan terus berjuang," katanya dalam sidang media selepas Kempen Jelajah Awfar Bank Islam yang turut disertai lebih 300 peminat skuad The Bos Gaurus di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini. 

Pemain kebangsaan itu yakin kemasukan penyerang import, Guilherme De Paula,  juga akan memberi tonik tambahan kepada jentera serangan skuad TBG berbekalkan pengalaman dan ketajamannya di hadapan gawang gol lawan. 

"Saya rasa dia (De Paula) dah biasa dengan Liga Malaysia. Kita tahu dia juga dapat menjaringkan banyak gol dengan Kuala Lumpur musim lalu. Saya harap dia dapat teruskan momentum itu untuk pasukan Perak pula," katanya.

Mengulas sasaran pasukan dalam saingan liga musim depan, Shahrul berkata Perak akan cuba mempamerkan aksi terbaik untuk mencabar pasukan-pasukan ternama lain seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Pahang, Kedah dan Selangor. 

"Saya rasa tak mustahil untuk kami semua bersaing dengan mereka. Paling penting adalah semangat juang bersama-sama. Kalau kita serius, kita boleh buat," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen