Perak tekad melakukan kejutan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila kapten pasukan, Shahrul Saad, berikrar untuk tidak akan memberikan lawan meraih jaringan dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim dalam aksi Liga Super, esok.

Perkara itu ditegaskan Shahrul yang juga tonggak pertahanan The Bos Gaurus ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam ketika sesi latihan pasukannya, sebentar tadi.

"Selepas kami tewas kepada Melaka dalam aksi terdahulu, kami telah membuat penambahbaikan dalam permainan dan ia akan dijelmakan ketika berdepan JDT sekaligus meraih mata dalam perlawanan ini," kata Shahrul.

Apabila ditanyakan mengenai ancaman pendahulu Liga Super itu, Shahrul berkata, "Bagi saya, JDT memiliki barisan pemain yang berpengalaman, ia merupakan tugasan saya bersama rakan sepasukan yang lain untuk memastikan Perak dapat menyerap tekanan pasukan lawan."