Perak semakin serius untuk menghadapi saingan musim depan apabila sah mengikat dua pemain Selangor, Shahrom Kalam dan Hafiz Kamal, selain dalam proses rundingan terakhir untuk mengikat pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Zaquan Adha Abdul Radzak.

Shahrom ketika dihubungi Nadi Arena, mengakui mula menjalani latihan bersama Perak yang turut dihadiri Hafiz Kamal, hari ini.

Tambahnya, keputusan memilih haluan baru bersama Perak disebabkan pernah mempunyai pengalaman beraksi dengan pasukan itu walaupun ada menerima beberapa tawaran lain.

"Saya mahukan cabaran baru. Saya pernah berbakti di negeri Perak selama dua tahun. Mungkin tahun depan akan ada sinar baru buat Perak dan saya harap dapat beri sesuatu untuk Perak," kata pemain pertahanan itu.

Jelas Shahrom, keputusan menginggalkan Selangor adalah detik paling sukar bagi dirinya sepanjang bergelar pemain profesional.

Sudah berasa sebati dengan Selangor, dia mengakui terpaksa melakukannya demi masa depan kerjaya, serta situasi tidak menentu dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

"Sepanjang kerjaya sebagai pemain bola sepak, ini adalah keputusan paling sukar yang saya buat.

"Memang berat, sebab Selangor sudah sebati dengan jiwa saya tetapi keadaan itu membuatkan saya tidak dapat bersama Selangor lagi. Saya harap dan doakan yang terbaik untuk Selangor," tambahnya.

Shahrom sudah dua musim bersama skuad Merah Kuning dan menjadi sebahagian barisan terbaik yang merealisasikan misi 33 Piala Malaysia pada musim lalu.

Sebelum ini, Shahrom pernah bersama Perak juga selama dua musim selain tiga musim bersama pasukan kelahirannya, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zaquan Adha difahamkan turut berada di Ipoh dan akan memuktamadkan perjanjian bersama Perak dalam masa terdekat.

Selain Zaquan Adha yang disebut-sebut akan bertukar pasukan, lima pemain lain juga dikhabarkan akan menyarung jersi baru musim depan, namun belum dapat dipastikan.

Selangor paling bergelombang kerana dijangka akan kehilangan dua lagi pemain, iaitu Rizal Fahmi Rosid dan R. Gopinathan yang berminat dengan pasukan Melaka atau JDT.

1. Rizal Fahmi Rosid (Selangor) ke Melaka.

2. K. Reuben (PDRM) ke Pulau Pinang.

3. R. Gopinathan (Selangor) ke JDT/Melaka (ke JDT, dipinjamkan ke Melaka).

4. Afiq Azmi (Negeri Sembilan) cuba dipancing Felcra FC.

5. Nasril Nourdin (Pahang ) ke Perlis.