Penyerang prolifik Perak, Ahmad Shahrel Fikri, mahu membuktikan penyerang tempatan juga mempunyai sentuhan meledak gol dalam usaha misi meraih anugerah kasut emas musim ini.

Sebelum saingan Liga Malaysia ditangguhkan Mac lalu, Shahrel Fikri, yang pernah beraksi bersama kelab Thailand, Nakhon Ratchasima FC, sempat meledak tiga gol daripada keseluruhan empat perlawanan diharungi The Bos Gaurus.

Manakala berdasarkan kedudukan keseluruhan penjaring gol Liga Super ketika ini, rata-rata ia didominasi penyerang import, dengan Shahrel sahaja mewakili pemain tempatan dalam kelompok pendahulu, hanya dibezakan tiga gol sahaja dengan penyerang Terengganu, Dominique Da Sylva, penjaring terbanyak setakat ini.

Kali terakhir penyerang tempatan meraih gelaran kasut emas adalah pada 2011 menerusi Abdul Hadi Yahya.

"Bermain sebagai satu pasukan, jika ada rezeki saya mahu menjadi penjaring terbanyak saingan Liga Super kali ini," kata Shahrel.

Menjelang sepak mula pada esok berdepan Melaka di Stadium Ipoh, Perak tidak rela keciciran mata di laman sendiri, apabila melayan kunjungan Melaka, kerana mahu memberi tekanan kepada pendahulu, Johor Darul Ta'zim.

Perak berkemungkinan tidak dapat menurunkan Ahmad Khairil Annuar, kerana masih belum pulih daripada kecederaan, namun pengendalinya, Mehmet Durakovic, masih mempunyai pilihan, terutamanya enam pemain muda daripada skuad Piala Presiden yang diserap masuk ke skuad utama.

"Kami memiliki ramai pemain muda dan sangat gembira serta mereka memiliki masa depan buat pasukan Perak. Jika mereka akan diperlukan, saya akan menurunkan mereka, tiada masalah," kata Durakovic.