Semangat juang pemain membolehkan skuad Felda United bangkit untuk menyamakan kedudukan 1-1 ketika menentang Terengganu FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.

Ketua jurulatih Felda, Mohd Nidzam Jamil, mengakui anak buahnya menyedari hakikat mereka tidak boleh kehilangan mata sekiranya mereka mahu memperbaiki kedudukan liga.

"Saya akui Felda United bagus dari segi membuat 'comeback'. Pemain muda juga bijak beraksi dalam perlawanan ini walaupun bermain dalam tekanan kerana kedudukan kami yang berada di tangga tercorot buat masa ini.

"Beberapa perubahan taktikal perlu dilakukan sepanjang perlawanan, termasuk memasukkan penyerang import, Kei Ikeda, kerana dia tahu apa yang perlu dilakukan jika kami ketinggalan," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, jaringan Ikeda dua minit sebelum waktu permainan tamat menyelamatkan The Fighters daripada mengalami kekalahan buat kali ketiga berturut-turut.

Gol Terengganu dijaringkan oleh pemain baru skuad Penyu, Mohamad Nabil Ahmad Latpi, dalam enam minit terakhir masa penuh.

Mohd Nidzam juga mengakui keputusan memasukkan Muhamad Hadin Azman sebagai satu perjudian kerana tonggak utama pasukan itu baru sahaja pulih daripada kecederaan.

"Kami terpaksa (menurunkan Hadin) dan berharap keadaannya baik serta tidak lagi dibelenggu kecederaan kerana kami amat memerlukan dia semasa menentang Pahang di Stadium Darul Makmur selepas ini," katanya.

Sementara itu, pengendali Terengganu, Mohd Nafuzi Mahammad Zain, menyifatkan aksi pasukan itu semakin baik walaupun sekadar mencatat keputusan seri.

"Kami berjaya menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang sebelum menjaringkan gol.

"Namun, mungkin akibat kurang konsentrasi dan Felda United memiliki serangan yang berbahaya, kami dihukum pada minit-minit akhir dengan gol penyamaan," ujar Nafuzi.

-- BERNAMA

Kredit foto: Facebook Terengganu Football Club