Pasukan bola sepak tempatan yang masih mempunyai tunggakan gaji terhadap pemain perlu bersikap adil dan tidak sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab di sebalik keghairahan untuk persiapan menghadapi musim baru.

Penghujung musim 2018 dan kisahnya masih serupa buat bola sepak tempatan apabila isu tunggakan gaji sekali lagi menjadi tumpuan.

Ia berikutan kegagalan sesetengah pasukan untuk melunaskan baki pembayaran gaji yang sepatutnya diterima oleh pemain seperti yang dijanjikan dalam kontrak masing-masing.

Malah, ada juga kes yang sudah berlanjutan lebih daripada dua tahun dan belum menemui penyelesaian.

Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, menjelaskan wujud situasi di mana ada dalam kalangan pasukan berkenaan seolah-olah tidak mengambil serius permasalahan itu.

"Terdapat pasukan yang masih belum melunaskan isu tunggakan gaji sehingga kini. Ketika dalam kerancakan melakukan persiapan menghadapi musim depan, isu gaji perlu diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Rezal berpandangan isu tunggakan gaji bagi musim 2018 sebagai antara yang tertinggi dan situasi itu perlu ditangani dengan segera agar ia tidak terus meningkat bagi musim mendatang.

Lantas, perlu ada kesedaran dalam kalangan pasukan bahawa mereka perlu berbelanja berdasarkan kemampuan kewangan sedia ada dan tidak membebankan kantung perberlanjaan semusim.

"Jika permasalahan ini dapat diselesaikan dalam kadar segera, ia akan membantu pemain-pemain dan secara tidak langsung untuk pasukan itu sendiri."