Tonggak utama Melaka, Safiq Rahim, menganggap kesungguhan pasukannya menyelesaikan isu tunggakan gaji bakal menjadi suntikan moral buat pemain menghadapi Liga Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan tiada pemotongan mata terhadap Melaka selepas berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam tempoh dua minggu.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu, langkah pihak pengurusan pasukannya itu bakal memberi impak positif bagi aksi Liga Malaysia musim 2020.

"Kami memerlukan suasana yang positif dalam pasukan sebelum musim bermula. Kami berharap dapat menghasilkan sesuatu untuk Melaka," katanya.

Safiq berpendapat kemasukan pemain natrulisasi, Liridon Krasniqi, mampu membawa kelebihan dalam gandingan bersama pemain tempatan.

Safiq yang kini bebas kecederaan turut tidak menolak kemungkinan kembali menyarung jersi negara.

"Liridon seorang pemain yang baik dan bagi pasukan negara adalah satu kelebihan apabila dia dapat dinaturalisasikan. Pasukan negara perlu menggunakan kelebihan yang ada pada Liridon, terutama daya membaca permainan, kerana impaknya sangat besar dalam setiap perlawanan.

“Dia perlu menunjukkan kemampuan sebenar dan beri 100 peratus ketika bermain untuk pasukan negara kerana tiada yang lagi besar daripada negara. Kita mahu melihat dia beraksi di tahap lebih tinggi kerana setakat ini dia hanya beraksi dalam saingan domestik."



Editor: Ammar Hakim