"Ia perasaaan yang bercampur-campur," itu reaksi majoriti pemain Selangor yang tidak menafikan rasa terkilan ekoran dihalau daripada padang latihan yang sudah begitu
sebati dengan mereka, namun dalam masa sama menganggap ia adalah perubahan untuk kebaikan.


Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain -- itu perumpamaan tepat untuk skuad Selangor yang kini hilang hak untuk meneruskan latihan mereka di Padang SUK, Shah Alam bagi persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Padang SUK, yang cukup sinonim sebagai tempat latihan The Red Giants, perlu dikosongkan bermula 1 Disember lalu untuk kerja-kerja penambahbaikan.

Namun, dalam tempoh menunggu lampu hijau untuk memulakan latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), arahan kerajaan negeri menerusi surat bertarikh 5 Disember lalu masih belum disempurnakan pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

"Bagi saya, ia mengganggu persiapan kami untuk berlatih. Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan yang berusaha untuk mendapatkan tempat latihan yang baru," kata kapten Selangor, Razman Roslan.

"Setakat ini tiada masalah, cuma terkejut apabila tidak lagi akan berlatih di sini," kata penjaga gol, Norazlan Razali.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P. Maniam, tampak lebih positif dengan perkembangan venue skuad Selangor, dengan menegaskan perpindahan mereka adalah untuk sesuatu yang lebih baik.

"Kami ke sana dengan perasaan lebih baik, ia seharusnya lebih baik buat pemain kerana kami akan bermain seperti sebelas lawan sebelas dan tujuh lawan tujuh.

"Jadi, saya fikir padang adalah salah satu faktor utama untuk pemain mengembangkan kemahiran mereka dan saya fikir ia bagus untuk kami gunakan padang di Bukit Jalil untuk melatih pemain," katanya.

Selangor dijangka memulakan sesi latihan di Padang MSN, Bukit Jalil bermula minggu depan.