Selangor mahu menyekat impian Melaka untuk kekal dalam Liga Super apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Peluang Selangor untuk menggapai sebarang piala musim ini sudah terlepas, terutama selepas terkandas dalam suku akhir Piala Malaysia, Ahad lalu.

Harapan mereka untuk mengejar kedudukan tempat kedua atau ketiga dalam Liga Super juga amat tipis.

Justeru, misi mereka kini adalah untuk mengubati kekecewaan tersebut dengan mencari tiga mata, sekaligus menidakkan impian Melaka yang kini di ambang penyingkiran.

"Sudah tentu kami akan membuat satu atau dua pertukaran tetapi tidak banyak. Kami perlu mencari keputusan yang baik di sana untuk mendapatkan keyakinan pemain," kata jurulatih Selangor, P. Maniam.

Untuk rekod, Selangor sudah pun mengalami empat kekalahan berturut-turut baik, dalam saingan Liga Super mahupun Piala Malaysia, sejak 9 September lalu.

Justeru, Maniam dijangka merombak skuadnya bagi memburu tiga mata di laman lawan.

"Sudah tentu kami agak sukar untuk fokus satu lagi perlawanan menentang Melaka tetapi sebagai pemain profesional, mereka perlu bermain," tambahnya.