Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini memperkenalkan jersi ketiga pasukan bola sepak Selangor bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Pada musim depan, pasukan digelar 'Red Giants’ itu bakal menggunakan jersi jenama Joma dan berbeza daripada tahun ini, jersi ketiga pasukan itu kini berwarna hijau yang juga merupakan warna rasmi Raja Muda Selangor.

Pada musim 2018, jersi ketiga pasukan Selangor berwarna kuning.

Pelancaran jersi berkenaan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga presiden FAS di Stadium Shah Alam sempena Hari Bola Sepak Selangor.

Turut diperkenalkan semasa pelancaran jersi berkenaan adalah 24 pemain yang bakal membawa cabaran pasukan Selangor dalam Liga-M 2019.

Antara pemain yang diperkenalkan adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Faiz Mohd Nasir, Mohd Amri Yahyah, Rufino Segovia serta ketua jurulatih, B. Sathianathan.

Sementara itu, Tengku Amir Shah dalam ucapan perasmiannya bertitah pihaknya dan pengurusan baru FAS telah melaksanakan pelbagai transformasi bagi mengembalikan semula status pasukan Selangor sebagai kuasa besar bola sepak tempatan.

"FAS kini lebih terbuka, mudah didekati dan mesra peminat, penyokong nak kita jadi juara Asia, dan kita (FAS) kena berfikir bagaimana untuk menjadi juara," titah baginda.

Sementara itu, Sathianathan ketika ditemui pemberita berkata pihaknya sedang meneliti beberapa pemain import untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan musim akan datang.

"Saya sedang mengadakan rundingan dengan seorang pemain, dia pernah bermain dengan saya dan saya tahu kemampuan dia, tetapi dua lagi pemain import bagi posisi pemain tengah dan pemain pertahanan, kita sedang cari.

"Saya mungkin tidak mengisi kuota pemain import ASEAN kerana bagi saya, pemain ini yang bagus dari Vietnam dan Thailand, tapi nak dapatkan mereka memang susah kerana mereka dibayar gaji tinggi dan ada bayaran perpindahan, kita kena realistik," katanya.

Mengulas mengenai dua pemain pasukan itu, Mohd Shazwan Zainon dan Muhammad Syahmi Safari, Sathianathan berkata pihaknya memberi cuti selama dua minggu kepada kedua-dua pemain kebangsaan itu yang baru sahaja menamatkan saingan Piala Suzuki AFF 2018.

Dalam aksi malam tadi, harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau lapan tahun menjulang Piala Suzuki tidak kesampaian setelah kalah tipis 0-1 kepada Vietnam dalam aksi final kedua di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam muncul juara buat kali kedua selepas 2008 menerusi keputusan agregat 3-2, dan ia sekali gus meranapkan impian Malaysia meraih kejuaraan kedua selepas edisi 2010.

-- BERNAMA