"Selangor sebuah pasukan yang hebat," itu pengakuan pemain sayap skuad Harimau Malaya, Syazwan Zainon, sekali gus menamatkan spekulasi perpindahannya ke Red Giants musim depan.

Syazwan adalah antara pemain tonggak yang meninggalkan skuad Kedah, dengan kemelut yang melanda pasukan itu sebelum ini tampak mendorongnya untuk berhijrah sambil mahu mencuba angin baru selepas enam tahun menyarung jersi Hijau Kuning.

Dikaitkan menyertai Selangor musim depan, ini jawapan Syazwan mengenai spekulasi itu.

"Saya masih belum membuat keputusan lagi tetapi sudah bersedia untuk berhijrah meninggalkan Kedah," kata Syazwan.

Namun, difahamkan Syazwan sudah menandatangani kontrak dengan Selangor sebelum berlepas ke Phnom Penh untuk tugasan bersama skuad kebangsaan.

Selain Syazwan, pemain tengah negara, Akram Mahinan, turut dikaitkan menyertai gergasi Merah Kuning.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr. Johan Kamal Hamidon, ketika diminta mengesahkan perpindahan Syazwan ke Selangor, ini reaksi beliau.

"Syazwan adalah pemain yang berkualiti. Musim lalu, Selangor tidak memiliki pemain sayap tulen dan Syazwan adalah antara dalam pemantauan kami," katanya.