Perebutan tempat kedua Liga Super turut hangat dengan Selangor bersiap sedia mengalu-alukan kunjungan Pahang ke Stadium Shah Alam, malam ini.

Dimantapkan lagi dengan kehadiran Lazarus Kaimbi, Tok Gajah berupaya kembali menyerlah sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila menang dua perlawanan berturut-turut, termasuk kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam Piala FA, hujung minggu lalu.

Kaimbi terus memainkan peranan besar di bahagian serangan dan telah menjaringkan satu gol dan satu bantuan jaringan setakat ini.

Sementara itu, di bahagian pertahanan, skuad Pantai Timur itu mempunyai Herold Goulon yang tidak hanya membantu mereka dari sudut bertahan, bahkan turut menghasilkan gol.

Dia menjaringkan dua gol, termasuk sepakan percuma menakjubkan dari tengah padang ketika berdepan The Bos Gaurus dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala FA di Kuantan, Sabtu lalu.

Selangor turut bangkit dan bersaing dalam kelompok atasan liga meskipun mengharungi permulaan hambar pada awal musim.

Bagaimanapun, kekalahan 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Rabu lalu, meninggalkan Gergasi Merah dengan tugas sukar untuk kembali bangkit berdepan Pahang atau berpotensi mengharungi satu lagi kekalahan.

Sedikit perkhabaran gembira buat pengendali, B. Sathianathan, adalah mengenai kepulangan Khyril Muhymeen Zambri yang semakin kerap memulakan aksi dalam kesebelasan utama.

Malah, bekas penyerang Kedah dan PKNS itu turut meledak sepakan percuma cantik ketika menentang JDT.