SELANGOR 2 KUALA LUMPUR 1

Selangor memastikan kemenangan dalam masa kecederaan untuk mengatasi Kuala Lumpur 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Skuad kendalian B. Sathianathan itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Idefayo Olusegun pada minit ke-39.

Selangor berpeluang untuk menambah jaringan, namun kecekapan Sharbinee Allawee Ramli memastikan tuan rumah sekadar mendahului saingan dengan satu jaringan dalam babak pertama.

Kuala Lumpur kembali mengikat kedudukan apabila bekas penyerang Selangor, Guilherme de Paula, meledak jaringan penyamaan menerusi sepakan penalti pada minit ke-59.

Ketika perlawanan di ambang penghujung dan kelihatan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata, Selangor menemui jalan pada minit ke-95 apabila Sandro da Silva meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti, sekali gus memastikan Selangor meraih tiga mata.

Sementara itu, Terengganu melakar kebangkitan melalui hatrik Sanjar Shaakhmedov untuk merakamkan keputusan seri 3-3 dengan Melaka di Stadium Hang Jebat.