Pasukan Selangor terus dirundung kekecewaan apabila hasrat untuk mendapatkan sentuhan legenda bola sepak Thailand, Kiatisuk Senamuang, selaku jurulatih baru Red Giants tidak kesampaian.

Selangor dalam pemburuan jurulatih baru selepas gagal menggunakan khidmat Mehmet Durakovic yang membuat pusingan 'U' untuk kekal bersama Perak.

Terpaksa mencari alternatif lain, Kiatisuk yang juga bekas jurulatih Thailand berada dalam radar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk mengemudi pasukan tersebut musim depan.

Namun, ia juga tidak kesampaian kerana Kiatisuk mempunyai komitmen kerja di England ketika ini.

"Kami sudah menghubunginya, malangnya beliau mempunyai projek di United Kingdom dan tidak dapat bersama kami pada musim depan.

"Tetapi, beliau tetap membuka pintu untuk Selangor pada masa akan datang," kata Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

FAS, bagaimanapun, sudah menyenaraipendekkan empat jurulatih sebagai calon pengendali musim depan.

Ia membabitkan seorang jurulatih tempatan, iaitu B. Sathianathan, dan tiga jurulatih asing yang enggan didedahkan nama mereka.

"Kami mempunyai seorang calon jurulatih tempatan manakala tiga calon yang lain adalah jurulatih import.

"Kami cenderung unyuk menggunakan khidmat jurulatih luar dan perlu memastikan calon itu nanti mempunyai pengetahuan dengan bola sepak tempatan," katanya