Beberapa pasukan kini sedang rancak mendapatkan pemain baru menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula Ferbuari ini.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak terkecuali dengan kini sedang mengintai khidmat pemain tengah Felcra FC, Endrick Dos Santos, bagi memperkuatkan skuad The Red Giants musim depan.

Dos Santos, 23, mula berada dalam radar FAS selepas pemain tengah kelahiran Brazil itu menyerlah ketika membantu Felcra sepanjang musim ini.

Dia merupakan antara tunjang utama kejayaan Felcra menjadi naib juara Liga Perdana 2018.

"Endrick seorang pemain yang baik.

"Dia antara calon yang dimahukan ketua jurulatih, B. Sathianathan.

"Segala butiran tentang pengambilan pemain itu masih dalam perbincangan.

"Namun, dia akan menjalani beberapa sesi ujian bersama skuad utama kami," kata Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Jika ura-ura itu menjadi kenyataan, jentera serangan Selangor musim depan tampak lebih mantap selepas mereka turut mengekalkan khidmat penyerang sensasi, Rufino Segovia.

Segovia mencuri tumpuan walaupun kurang mendapat sokongan daripada rakan sepasukan sehingga dia dinobat penjaring terbanyak Liga Super 2018.

"Mengekalkan Rufinho merupakan kejayaan besar buat kami kerana pemain itu merupakan penjaring terbanyak tahun ini.

"Banyak pasukan mahukan khidmatnya, namun dia tetap setia bersama kami," tambahnya.