Skuad kendalian B. Sathianathan, Selangor bakal memulakan sesi latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 9 Jun 2020.

Seramai 35 hingga 40 pemain dan pegawai daripada saingan Liga Super akan melewati ujian covid19 sebelum skuad Gergasi Merah itu kembali ke padang untuk menjalani latihan luar norma kebiasaan.

"Kami telah memaklumkan kepada pemain-pemain supaya bersedia untuk menjalani ujian kesihatan sepanjang minggu pertama bulan hadapan," kata Sathianathan.

9 Jun jadi tarikh keramat untuk Selangor kembali berlatih selepas berehat hampir empat bulan ekoran PKP.

Latihan yang akan diterapkan masih berpandu kepada SOP PKPB yang telah diumumkan pihak kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, ada rujukan tambahan yang diambil pihak pegurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terarah kepada langkah-langkah yang telah diambil kelab dari Itali, Sepanyol dan Korea Selatan yang sudahpun memulakan sesi latihan mereka ketika ini.

"Kami akan mengikuti SOP telah dikeluarkan untuk sebuah pasukan bola sepak untuk menjalani latihan."

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ghani Hassan, menjelaskan pihaknya belum menerima sebarang makluman daripada pihak Selangor untuk memulakan sesi latihan kurang dua minggu dari sekarang.

"Buat masa ini, tiada lagi pasukan yang memaklumkan kepada MFL untuk memulakan latihan. Saya menasihati kepada setiap individu terlibat untuk memaklumkan kepada MFL untuk kembali berlatih," katanya.