Selangor menjadi pasukan ketiga selepas Kelantan dan Perlis yang mengancam untuk menarik diri musim depan jika gagal mendapat RM15 juta sebelum sepak mula Liga Malaysia, 21 Januari depan.

Sehingga saat ini, masih belum ada sebarang petanda positif daripada Kerajaan Negeri Selangor bahawa akan ada sebarang bantuan kewangan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Keadaan genting itu jelas cukup membimbangkan FAS yang perlu bekerja keras mendapatkan dana sendiri daripada pihak penaja dalam tempoh sebulan.

Menurut Naib Presiden FAS, Datuk Subahan Kamal, tindakan menarik diri terpaksa menjadi pilihan terakhir kepada Selangor demi menjaga kebajikan pemain.

"Tanpa kewangan, mungkin susah untuk kami teruskan. Kami harap tidak sampai ke tahap itu tetapi kami mesti berusaha bagaimana sekalipun untuk bermain dalam liga tahun depan.

"Pun begitu, ia berbalik kepada kewangan kami. Kalau kewangan kami tidak mengizinkan, ada kemungkinan kami akan menarik diri daripada liga," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, akan berjumpa secepat mungkin dengan Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tetap berharap Azmin mampu membantu FAS, Mokhtar berkata, jumlah RM15 juta itu adalah paling minimum, penurunan RM8 juta berbanding musim lalu.

"Ia adalah perkara yang perlu disegerakan. Saya akan cuba berjumpa dengan presiden, dia presiden saya, presiden kami. Dia tidak boleh pisahkan dirinya. Dia adalah presiden FAS.

"Seperti yang saya katakan, dia juga bertanggungjawab ke atas FAS. Kami akan berbincang, tiada masalah," kata Mokhtar.

Buat masa ini, seramai 10 pemain dari skuad Selangor musim lalu akan kekal dengan tujuh pemain Piala Presiden diserap masuk ke dalam pasukan Liga Super itu.