Pemangku ketua jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Nasir, memberi jaminan akan menggunakan pendekatan terbaik dalam usaha merakam keputusan positif menjelang aksi Liga Super berdepan Negeri Sembilan, Sabtu ini.

Melihat kedudukan Selangor yang kini berada di tangga ke-10 liga, Nazliazmi sedar skuad Merah Kuning wajib meraih tiga mata untuk mengukuhkan kembali kedudukan.

Dia juga mengakui Selangor perlu tampil lebih konsisten ketika berdepan Negeri Sembilan dan pemain-pemain juga perlu kembali bangkit dalam perlawanan itu.

"Kekuatan mental harus diterapkan kepada setiap pemain dan apa yang pasti, kami akan berdepan dengan Negeri Sembilan bukan sahaja dengan permainan yang menghiburkan tetapi untuk mendapatkan mata, lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri.

"Saya tidak akan memberi tekanan tinggi kepada pemain dan harus bersikap optimis, sentiasa yakin dengan mereka," katanya.

Dalam dua aksi terakhir Selangor di bawah kendalian Nazliazmi, bekas juara 33 kali Piala Malaysia itu tewas 4-0 kepada Kedah dalam aksi Liga Super pada 13 April lalu dan juga 3-0 di tangan Kuala Lumpur ketika suku akhir kedua Piala FA, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, tetap memberi sokongan kepadanya untuk memgendalikan pasukan.

Subahan turut mempertahankan tindakan pengendali itu menurunkan beberapa pemain muda ketika berdepan Kuala Lumpur sehingga menyaksikan Selangor hampir tersingkir daripada saingan Piala FA.

"Selangor mahu tampil berlainan yang bermaksud kami mahu memberi peluang yang luas kepada pemain-pemain muda, di mana kami berasakan mereka harus diberi pendedahan untuk mendapat pengalaman.

"Lebih banyak mereka beraksi, lebih bagus mereka akan berkembang," ujar Subahan.