MYANMAR 1 MALAYSIA 0

Selamat tinggal Piala Suzuki AFF 2016. Itu ungkapan paling tepat buat skuad negara selepas tewas 1-0 kepada Myanmar dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna malam ini, sekaligus tersingkir daripada kejohanan.


Ini kali pertama Malaysia gagal ke separuh akhir sejak 2008.

Beraksi di hadapan kira-kira 40,000 penyokong tuan rumah, skuad negara yang turun dengan misi wajib menang, menampilkan Norshahrul Idlan Talaha dan Nazirul Naim Che Hashim buat kali pertama dalam kesebelasan utama.

Skuad negara bermula positif apabila hampir menerjah gawang Myanmar pada minit keenam, namun percubaan Ahmad Hazwan Bakri dinafikan tiang gol.

Selang lima minit kemudian, Myanmar dihadiahkan sepakan penalti setelah Hazwan mengasari Zaw Min Tun, namun peluang itu gagal dimanfaatkan Aung Thu apabila sepakannya berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Gawang Harimau Malaysia nyaris dibolosi ketika dua minit menuju rehat, mujur sepakan percuma Aung Thu sekadar menggegar palang untuk kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Terdesak memburu jaringan, skuad negara membuat percaturan berani mati pada minit ke-75 dengan mengeluarkan Shahrom Kalam dan Safee Sali dimasukkan untuk menguatkan jentera serangan.

Percaturan itu, bagaimanapun, memakan diri apabila skuad negara dibolosi pada minit ke-88 hasil jaringan David Htan yang bijak memperdayakan benteng negara sebelum menewaskan Khairul Fahmi dengan sepakan rendah ke penjuru kiri penjaga gol itu.

Jelas, gol itu menyentap semangat pemain negara untuk bangkit dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan, sekaligus membawa Myanmar ke separuh akhir bertemu Thailand.

"Malam ini, kami bukan sahaja berdepan dengan 11 pemain Myanmar tapi juga dari segenap perkara termasuk pegawai perlawanan (Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah dari Oman).

"Tapi pada akhirnya, keputusan perlawanan yang akan diambil kira.

"Saya tidak pasti mengapa pengadil yang sama ditugaskan untuk tiga perlawanan kami," kata pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Dalam pada itu, Vietnam meneruskan momentum kemenangan mereka dengan menundukkan Kemboja 2-1 untuk bertemu Indonesia dalam separuh akhir pada 3 dan 7 Disember depan.

Kredit imej: OfficialHarimauMalaysia