Ketua jurulatih pasukan Selangor, B. Sathianathan, enggan memperjudikan khidmat penyerang import, Rufino Segovia, sehingga dia pulih sepenuhnya bagi aksi pertama menentang Pahang, 29 Februari ini.

Kelibat pemain dari Sepanyol itu kelihatan dalam sesi latihan semalam selepas direhatkan ekoran kecederaan buku lali sejak tahun lalu.

Situasi itu menyaksikan pemain berusia 34 tahun berkenaan terlepas sebahagian besar daripada aksi perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2019.

Bagaimanapun, menurut pengendali berusia 62 tahun itu, Segovia yang beransur pulih memerlukan sedikit masa sebelum cergas sepenuhnya untuk mampu menjadi efektif di depan gawang gol.

"Mungkin dia tidak akan memulakan perlawanan pertama (bertandang menentang Pahang).

"Saya akan tunggu apabila dia sudah bersedia 100 peratus.

"Saya menuntut prestasi di tahap tertinggi daripada seseorang pemain itu jika mahu saya letaknya (dalam kesebelasan utama)," katanya selepas perlawanan pemanas badan dengan Home United di Bukit Jelutong malam tadi.

Dalam pada itu, Segovia yakin perancangan pengendalinya itu adalah yang terbaik untuknya membuktikan kemampuan pada musim ini.

"Saya gembira dengan keadaan saya.

"Saya sudah mula menyertai sesi latihan bersama pasukan minggu ini.

"Saya tahu jurang prestasi diri sendiri berbanding rakan-rakan lain ketika ini, jadi saya perlu tingkatkan kecergasan.

"Saya akan bersedia apabila jurulatih memerlukan khidmat saya," kata peledak berumur 35 tahun itu.



Editor: Shaiful Shamsudin