Kelibat pemain tengah, Nur Shamie Iszuan Amin, selaku pemain muda tidak diberikan perhatian menyeluruh sehinggalah kejayaannya membolosi gawang PDRM pada minit ke-80 untuk mengesahkan Sarawak kekal dalam Liga Super musim depan.

Shamie beraksi selaku orang baru dari skuad Piala Presiden selepas diberi mandat untuk bersama skuad senior pada penghujung musim lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu, bagaimanapun, tidak menyangka aksi penutup Liga Super 2016 melonjakkan namanya selaku wira buat Sarawak.

Jaringan cantik milik anak jati Sarawak ini benar-benar menyentak PDRM, yang masih segar dengan aksi separuh akhir Piala Malaysia tempoh hari.

"Saya sangat gembira. Tak tahu nak cakap apa. Gembira dapat selamatkan pasukan kekal dalam Liga Super lagi.

"Dulu, takut-takut. Lama-kelamaan berlatih, semua tiada masalah dan dapat menemui keserasian dalam pasukan," katanya.

Bagi Shamie, kejayaan membantu Sarawak kekal dalam Liga Super cukup untuk dia menampilkan lebih aksi berkesan dalam kancah Liga Super musim depan.

Sarawak kekal dalam Liga Super selepas menumpaskan PDRM 2-1 di Stadium Negeri, kelmarin.

Sarawak menamatkan kempen Liga Super musim ini di tangga kelapan di atas Pulau Pinang, Pahang, PDRM dan Terengganu, dengan mengutip 24 mata.

Skuad itu mengumpul enam kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan dalam 22 perlawanan.