Pelantikan presiden baru Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin, mencetuskan polemik setelah hari ini, dia kini memegang dua portfolio utama kancah bola sepak tempatan.

Agenda utama Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019 itu membuat pindaan perlembagaan terhadap klausa pertama badan induk itu berkaitan dengan jawatan pengerusi.

Hamidin dilantik selepas sebulat suara menjadi pilihan 23 pemegang taruh untuk mengemudi badan pentadbir bola sepak negara bagi menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyandang jawatan itu, sebelum ini.

Bukan sahaja status jawatan pengerusi ditukar kepada presiden, malah pindaan baru itu menyaksikan jawatan nombor satu MFL itu selepas ini hanya boleh disandang oleh pihak bebas dan berkecuali, bukannya daripada mana-mana individu yang mempunyai kepentingan dalam mana-mana pasukan yang bertanding dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Saya ambil tanggungjawab ini walaupun keberatan kerana tumpuan saya adalah untuk bola sepak negara.

"Saya tahu MFL ini adalah untuk bola sepak negara kerana pemain-pemain (kebangsaan) lahir daripada (kancah) ini.

"Yang paling pendek (ringkas) untuk saya nak katakan, maknanya saya tidak 'hadap' (terhegeh-hegeh) dengan jawatan ini," katanya dalam sidang media mesyuarat itu di Hotel Hilton, Petaling Jaya.

Bekas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu juga bingkas menafikan bahawa pelantikannya akan bawa konflik dalam melaksankan tugas memandangkan dia juga merupakan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, Hamidin, yang menjawat kerusi tertinggi MFL, tidak mewakili mana-mana pihak setelah mengosongkan kerusi ahli lembaga pengarah itu yang kemudiannya diisi oleh Naib Presiden FAM, Mohd Johari Mohd Ayub.

"Saya memahami (hasrat) daripada ahli-ahli dan sahabat-sahabat (pemegang taruh MFL) dalam FAM, pengurusan, ahli majlis dan ahli gabungan, saya akan ambil jawatan ini dengan penuh tanggungjawab dan akan buat yang terbaik.

"Tetapi kalau suatu ketika ada calon yang lebih baik, saya akan lepaskan (jawatan ini) dengan senang hati."