Saya masih bapa kepada pasukan Perak, kata Durakovic

Oleh Muzaffar Musa 10 September 2020 418
Saya masih bapa kepada pasukan Perak, kata Durakovic
"Saya masih bapa kepada pasukan ini," kata ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang akhirnya membuka mulut mengenai masa depannya bersama pasukan itu.

Desas -desus mengenai pemecatan jurulatih itu bertiup kencang sebaik The Bos Gaurus diaibkan dengan kekalahan 0-7 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, dicanang sebagai pengganti jurulatih kelahiran Australia itu tetapi dalam satu temu bual eksklusif bersama  wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Durakovic berkata dia tidak takut untuk bertanggungjawab terhadap kekalahan besar itu.

"Ia bukan mudah selepas tewas kepada JDT, terutama dengan jaringan yang besar," katanya menjelang pertemuan dengan UiTM FC di Ipoh malam esok.

"Kamu perlu fokus terhadap perlawanan seterusnya malam esok dan kami akan memberikan 100 peratus dalam perlawanan itu.

"Kami sudah mempersiapkan pemain sepanjang minggu ini, kami mempunyai perbincangan dan mesyuarat yang baik dan harap-harap kami dapat mengubahnya malam esok.

"Saya sedar ia bukan sesuatu yang mudah tetapi kami perlu memandang ke depan dan memberikan aksi terbaik ke atas UiTM.

"Kerana jika kami mendapat tiga mata, kami boleh melonjak ke kelompok atasan semula.

"Masih ada baki lima perlawanan, jadi mana-mana pasukan berpeluang untuk merebut tempat kedua.

"Kami mahu mendapatkan kedudukan itu dan harap-harap ia akan bermula ketika menentang UiTM malam esok," katanya.

Mengenai desakan untuk dia meletakkan jawatannya, Durakovic berkata: "Dengar, pada akhirnya, saya akan bertanggungjawab terhadap prestasi pasukan ini.

"Saya tidak pernah menyalahkan pemain sepanjang hidup saya.

"Saya adalah jurulatih. Saya adalah bapa kepada pasukan ini.

"Pemain-pemain ini adalah anak saya dan saya mengambil 100 peratus tanggungjawab mengenai perkara ini.

"Pada akhirnya, kami menang dan kalah bersama-sama.

"Itulah keadaan saya. Apa yang saya boleh katakan adalah saya memberikan 100 peratus dalam latihan dan buat pasukan.

"Semua yang mengenali saya tahu apa yang telah saya lakukan buat Perak dan bola sepak di Malaysia.

"Jadi, seperti yang saya katakan, sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab terhadap kekalahan itu," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen