Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap jaringan Faiz Subri yang tersenarai dalam 10 gol terbaik bagi Anugerah Puskas, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mampu membuat kejutan untuk dinobatkan selaku juara.

Perkara itu disuarakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Faiz mencetuskan sensasi apabila melakukan jaringan cantik yang dikatakan melanggar hukum fizik pada 16 Februari lalu.

Menarik perhatian seluruh dunia, FAM kemudian mengambil langkah proaktif mencalonkan gol itu kepada FIFA pada 22 Februari lalu.

Usaha itu membuahkan hasil apabila FIFA semalam mengumumkan gol pemain Pulau Pinang itu dicalonkan untuk Anugerah Puskas, bersama bintang-bintang bola sepak dunia, antaranya Lionel Messi dan Neymar.

"Ia merupakan satu perkara yang baik, terutamanya untuk bola sepak negara, kerana jaringan tersebut telah mendapat perhatian meluas di media sosial dan juga FIFA.

"Saya berharap jaringan Faiz akan dinobatkan selaku juara," kata Hamidin.

Hamidin juga tidak menolak kemungkinan untuk memberikan insentif kepada pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu, jika berjaya dinobatkan sebagai pemenang.

"Sudah tentu FAM akan memberikan penghargaan kepada Faiz.

"Bentuk penghargaan tersebut masih belum dapat difikirkan lagi kerana kami mahu melihat keputusannya terlebih dahulu, kemudian kami tentu akan menilai apakah bentuk penghargaan yang sesuai untuknya."