Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pelantikan Sathit Bensoh sebagai ketua jurulatih baru The Red Warriors (TRW) musim depan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, menjelaskan jurulatih kelahiran Thailand itu diberi kepercayaan untuk membuktikan keupayaan dirinya sambil dibantu bekas pengendali Felcra FC, Yusri Che Lah.

“Kami telah berbincang dan memutuskan untuk memberi peluang kepada pemangku ketua jurulatih, Sathit Bensoh, mengemudi TRW dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Kami juga menerima ‘syarat’ yang ditetapkan Sathit bahawa dia akan meletakkan jawatan jika Kelantan gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam tiga atau empat perlawanan dalam Liga Super,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama. Bibi Ramjani juga menjelaskan KAFA telah membatalkan hasrat untuk melantik jurulatih daripada Republic Czech, Thomas Trucha, sebagai pengarah teknikal TRW yang baru.

“Dia (Trucha) mahukan kontrak selama dua tahun sebagai ketua jurulatih jika kami berhajat menggunakan khidmatnya.

“Selepas mengadakan perbincangan lanjut, kami memutuskan untuk tidak menawarkan kontrak kepadanya kerana risau jika kontrak itu ditandatangani (selama dua tahun), KAFA akan berdepan masalah lain jika Kelantan tidak mencapai tahap yang dikehendaki,” katanya.

Pelantikan Sathit tentunya menggembirakan penyokong setia TRW yang mahukan seorang jurulatih yang mempunyai aura tersendiri bagi membawa Kelantan kembali menjadi kuasa utama bola sepak negara dalam Liga Super.

Untuk rekod, keupayaan Sathit jelas terbukti apabila berjaya membantu TRW mengalahkan Melaka United 3-1 di gelanggang lawan, sekaligus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.