Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mempersoalkan mekanisme yang akan digunakan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), bagi memenuhi slot tambahan Piala AFC musim 2021.

Ia disambut baik oleh pengendali itu yang menganggap peluang ke pentas berkenaan kini semakin terbentang.

Begitupun, ia menjadi persoalan kepada Sathianathan tentang bagaimana pemilihan slot terakhir itu akan dibuat untuk menentukan pasukan manakah yang akan mengisi slot kedua dalam Piala AFC musim depan.

"Saya hanya tahu bahawa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan tambah slot kepada Malaysia.

"Tetapi dalam soal pemilihan wakil, saya tidak tahu bagaimanakah caranya.

"Besar kemungkinan ia membabitkan Piala FA dan liga kerana Piala Malaysia tidak termasuk dalam senarai kelayakan AFC.

"Terpulang kepada MFL untuk memilih kaedahnya," katanya di Shah Alam hari ini.

Tegasnya, dia sendiri ada mendengar format baru untuk ke Piala AFC tetapi belum dijelaskan bagaimanakah pemilihannya akan dibuat kelak.

"Saya perlu dapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan sekiranya mereka sudah tahu (dimaklumkan)," katanya lagi.

Pihak MFL dituntut segera memberi penjelasan untuk pemilihan slot akhir ke Piala AFC agar setiap pasukan lebih arif bagi menentukan persediaan terbaik.



Editor: Shaiful Shamsudin