Sathianathan: Tinggalkan Selangor keputusan Amri sendiri

Oleh Penulis Jemputan 22 November 2019 5146
Sathianathan: Tinggalkan Selangor keputusan Amri sendiri
"Bukan keputusan saya."

Itu reaksi ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, berhubung tindakan pemain berpengalaman skuad Gergasi Merah, Amri Yahyah, meninggalkan pasukan menjelang kempen Liga Malaysia musim depan.

Sathianathan menerima kritikan segelintir penyokong setia Selangor susulan daripada keputusan Amri untuk meleraikan ikatan bersama pasukan itu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu didakwa menjadi punca bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu meninggalkan Selangor walaupun masih mempunyai baki kontrak setahun.

Namun, Sathianathan tetap menghormati kontrak Amri apabila menegaskan keputusan itu dibuat oleh pemain itu sendiri.

"Saya tidak buat keputusan sama ada dia kekal atau tidak. Selangor sekarang ada dua pasukan, jadi pihak pengurusan boleh buat apa-apa perancangan sama ada gunakan khidmatnya dalam Selangor 2 bagi membimbing pemain muda.

"Kalau dia tetap dengan Selangor, pasukan akan menghormatinya. Saya juga menghormatinya sebagai seorang pemain," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen