Pengendali berpengalaman, B. Sathianathan, memilih untuk mengutamakan dirinya selepas tiada jodoh bersama Felda United serta mengakui dirisik dua pasukan daripada Liga Super bagi saingan musim depan.

Tiada kekesalan di riak wajah Sathianathan, malah menjelaskan beliau harus membuat pilihan terbaik ke mana destinasinya musim depan.

Sama ada kekal di Lembah Klang atau bakal berkelana ke utara tanah air, Sathianathan mengalu-alukan perbincangan lebih serius dengan pihak terlibat selepas beliau kini tidak lagi bersama Felda United.

"Kelab atau persatuan perlu memiliki cita-cita yang lebih tinggi. Bersaing dalam kelompok tiga terbaik serta mengejar gelaran Piala FA atau Piala Malaysia merupakan sasaran saya sebagai jurulatih," katanya.

Sathianathan telahpun memberi bayangan jelas untuk tidak meneruskan khidmat bersama Felda United jika beliau terpaksa melewati pemotongan gaji yang terlalu tinggi musim depan.

"Felda hanya menawarkan kontrak yang mampu dibayar oleh kelab dan saya mengambil keputusan untuk mengundurkan diri," jelasnya.