Jurulatih Felda United, B. Sathianathan, memberi bayangan jelas untuk tidak meneruskan khidmat bersama pasukan itu jika dia terpaksa melewati pemotongan gaji yang terlalu tinggi musim depan.

Sathianathan menetapkan had seandainya benar Felda United perlu menetapkan struktur kewangan ketat musim depan.

Namun, jika ia terlalu tinggi dan tidak masuk akal, jurulatih berpengalaman itu bersedia angkat kaki meskipun The Fighters mengisi slot Liga Super 2019 hasil daripada air tangannya sendiri.

"Saya boleh terima tetapi biarlah ada hadnya.

"Kalau setakat 30 peratus, saya tiada masalah, namun kalau sehingga 70 peratus gaji dikurangkan, memang susahlah.

"Saya juga perlu memikirkan masa depan dan sebagai jurulatih berpengalaman, saya perlu mengambil kira apakah yang saya mahukan," katanya.

Bukan disebabkan jumlah pendapatan sebagai keutamaan, sebaliknya sasaran pihak pengurusan Felda untuk menaik taraf kekuatan pasukan bagi saingan 2019 juga memainkan peranan utama.

Jika masalah kewangan menjadi penghalang, Sathianathan melihat sukar untuk skuad yang berada di bawah bimbingannya sejak 2017 itu untuk bersaing selain menegaskan kredibilitinya selaku jurulatih berkelas A perlu dijaga demi kariernya pada masa depan.

"Felda sebuah nama besar.

"Berkenaan peruntukan, saya faham Felda tidak boleh memberikan tawaran terlampau tinggi ekoran keadaan ekonomi.

"Bagaimanapun, tawaran yang dikemukakan biarlah berpatutan," ujarnya.