Aspirasi mengembalikan aura sebagai gergasi bola sepak tanah air menjadi tarikan buat B. Sathianathan dalam mengisi kerusi panas ketua jurulatih Selangor.

Pelantikan Sathianathan, yang pernah memegang portfolio sebagai pengendali skuad kebangsaan, sudah memadai untuk meyakinkan penyokong The Red Giants dalam mencabar penguasaan Johor Darul Ta'zim (JDT) musim depan.

Ia susulan polemik yang sedang bergolak dalam kalangan pemegang taruh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Apa yang boleh dijangkakan penyokong Selangor adalah Sathianathan akan mendapatkan khidmat pemain terbaik bagi memastikan jurulatih itu memenangi piala dalam musim sulungnya bersama Selangor.

"Saya tertarik dengan perancangan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk mengembalikan aura Gergasi Merah.

"Pengurusan baru Selangor telah menunjukkan landasan yang jelas dalam memajukan bola sepak di negeri itu.

"Prinsip saya adalah barisan pemain perlu fokus dalam latihan dan tahu apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan.

"Tiada individu lebih besar berbanding pasukan dan kesemua pihak perlu bertanggungjawab mengembalikan aura Gergasi Merah," katanya.

Sathianathan menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi FAS turut menegaskan tentang perincian falsafahnya di atas padang dalam memastikan mereka tidak menamatkan musim depan dengan tangan kosong.

"Falsafah saya adalah kesemua pemain akan terlibat sewaktu bertahan dan menyerang.

"Kami perlu memenangi perlawanan dan mendapatkan piala," tambahnya.