Bekas penyerang kebangsaan yang pernah tampil bersama Selangor sebelum ini menjadi sasaran terbaru jurulatih, B. Sathianathan, dalam memperkuatkan jentera hadapan Red Giants selain 90 peratus hampir pasti mengekalkan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Rufino Segovia.

Sathianathan memberi bayangan bahawa penyerang itu hampir pasti bersama Selangor dengan perbincangan kedua-dua pihak kini sudah memasuki fasa akhir.

Menurutnya, pengalaman luas penyerang itu diharapkan mampu menawarkan lebih banyak pilihan selain tidak terlalu bergantung kepada Rufino.

Berdasarkan pemahaman Nadi Arena, penyerang dimaksudkan ialah wira Piala AFF 2010, Safee Sali.

"Saya berasakan sentuhan bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu masih relevan untuk Selangor.

"Pemain yang dimaksudkan saya ini bukannya mengejar wang ringgit, sebaliknya adakah dia sedia berdepan kemungkinan tidak menjadi pemain dalam kesebelasan utama," kata Sathianathan.

Jika benar Safee akan bersama Selangor, jumlah pemain tempatan baru Selangor kini terdiri daripada 11 orang, termasuk Abdul Halim Saari yang namanya bakal diumumkan secara rasmi Isnin depan.

Mengenai situasi Safiq Rahim, reaksi Sathianathan membayangkan kemungkinan tiada jodoh bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersama Selangor.

"Ya, dia ada menghubungi saya tetapi kami perlu mengadakan perbincangan.

"Saya serahkan urusan ini kepada pengurus pasukan kerana ia melibatkan kewangan Selangor," ujarnya lagi.