Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk segera meneruskan cadangan prosedur operasi standard (SOP) sesi latihan melibatkan sentuhan ini kerana latihan bersentuhan amat diperlukan selepas ini agar pasukan mampu bersedia sepenuhnya menjelang saingan liga September ini.

Untuk tempoh yang tidak melebihi tiga minggu, sesi latihan tanpa sentuhan adalah relevan, tetapi untuk memastikan persediaan penuh, sesi latihan normal perlu berjalan seperti biasa.

Sathinathan meminta pihak MFL segera menyediakan SOP yang bersesuaian bagi memastikan latihan penuh pasukan dapat dijalankan sebagai persiapan menjelang saingan yang bakal bersambung nanti.

"Sekurang-kurangnya latihan kontak diperlukan selama sebulan. Kerana ia bermula dengan taktikal, kemudian dalam perlawanan ujian dan persahabatan, barulah pasukan bersedia untuk menghadapi saingan kompetitif," kata Sathianathan.

Mengenai pergerakan pemain, Sathianathan berkata, "Tiada pemain yang dibenarkan pulang ke kampung. Terdapat syarat yang telah ditetapkan bahawa setiap pemain perlu melaporkan kepada pasukan di mana mereka berada."