Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat kemunculan semula Asraruddin Putra Omar dalam Liga Malaysia (Liga-M) tidak kesampaian apabila jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengesahkan bekas pertahanan kebangsaan itu sekadar mengikuti latihan di bawah bimbingannya.

Kem Selangor gempar dengan kelibat Asraruddin yang menyertai sesi latihan skuad Gergasi Merah menjelang musim baru Liga M.

Ini selepas bekas pertahanan Selangor itu menyepi selama tiga tahun ekoran kecederaan selain gagal mendapatkan pasukan untuk beraksi sejak dilepaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada akhir musim 2016.

Mengulas kehadiran pemain berusia 32 tahun itu yang dikaitkan akan memperkuatkan skuad Selangor musim ini, ini penjelasan Sathianathan:

"Ia bukan ujian pemilihan. Asra datang kepada saya untuk menjaga kecergasannya.

"Dia mahu bermain dalam kancah Liga M3 dan saya sudah kenal dia ketika membimbing pasukan kebangsaan, apatah lagi dia merupakan ketua pasukan Selangor.

"Macam David Beckham, dia pernah berlatih bersama Arsenal untuk memastikan kecergasannya," katanya dalam sesi latihan di Shah Alam pagi tadi.

Pengendali berusia 62 tahun itu, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan untuk memberi peluang kepada Asraruddin untuk menyarung jersi gergasi Lembah Klang itu pada suatu hari nanti andai pemain berkenaan berjaya mendapatkan semula sentuhannya.

"Kami belum lagi terlintas untuk mendaftarkannya tetapi dia rela untuk datang bagi mengurangkan berat badannya.

"Dalam masa empat minggu sahaja, dia telah berjaya mengurangkan 4kg.

"Dia merupakan bekas pemain, ketua pasukan Selangor dan pemain kebangsaan, inilah (bentuk) bantuan yang kami boleh tawarkan kepadanya."




Editor: Shaiful Shamsudin