Sathianathan ingin dikenang jurulatih berjaya di Selangor 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Ogos 2020 1547
Sathianathan ingin dikenang jurulatih berjaya di Selangor 
Pengendali Selangor, B. Sathianathan, mahu dikenang sebagai jurulatih yang akan meletakkan The Red Giants di satu tahap yang lebih tinggi.

Ia susulan timbul spekulasi bahawa khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu tidak akan dikekalkan pada musim depan.

Tiada jaminan buatnya akan kekal apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) belum dapat menyatakan pendirian mereka berkenaan kedudukan itu biarpun Gergasi Merah tersebut menjulang piala musim ini.

Sebaliknya, FAS akan membuat beberapa penilaian dan perbincangan di peringkat jawatankuasa untuk menentukan kedudukan Sathianathan pada akhir musim ini tatkala kontrak jurulatih berpengalaman itu akan berakhir 30 November depan.

"Saya belum tahu adakah akan kekal atau keluar tetapi saya sentiasa mahu dikenang sebagai seorang jurulatih yang dapat kembalikan peminat ke stadium untuk melihat permainan yang menarik. 

"Ketika saya mengambil alih, Selangor di kedudukan yang teruk, orang lupa tentang ini.

"Saya ingin melihat Selangor seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), menjadi pasukan yang dihormati pihak lawan," katanya ketika diwawancara wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Begitupun, Sathianathan, yang berjaya memulihkan reputasi pasukan itu sejak tahun lalu berbanding musim 2018, enggan memikirkan mengenai kontraknya, sebaliknya mahu ingin fokus dalam melunaskan sasaran layak ke pertandingan AFC dan menjuarai Piala Malaysia.

"Sekarang saya tidak boleh berbincang dengan sesiapa pun, kena tunggu kontrak saya berbaki sebulan baru boleh mula berunding. 

"Sama ada masih dengan Selangor atau tidak, saya akan tetap hormati kontrak dan teruskan kerja. 

"Fokus saya bukan masa depan, sebaliknya ke arah pasukan, liga dan Piala Malaysia."

Khabar angin juga bertiup kencang mengenai calon yang akan mengisi kerusi panas ketua jurulatih Selangor musim depan.

Terdapat tiga nama dikaitkan, iaitu pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, jurulatih Selangor II, Michael Feichtenbeiner, dan terbaru, Guido Buchwald.

Berdasarkan tiga nama itu, Buhcwald memiliki reputasi paling hebat apabila pernah membimbing kelab ternama Jepun, Urawa Reds, dan ketika ini memegang jawatan sebagai Pengarah Bola Sepak Stuttgarter Kickers.

Beliau juga mempunyai pencapaian hebat sebagai pemain dengan menganggotai Jerman Barat memenangi Piala Dunia 1990 di Itali selain membantu kelabnya, VFB Stuttgart, muncul naib juara Piala UEFA pada 1989.

Kekal atau tidak musim depan, apa yang pasti B. Sathianathan tetap akan membimbing Selangor hingga tamat musim ini dan fokus mereka ialah memperbaiki kedudukan dalam perlawanan-perlawanan yang bakal diharungi dengan dan misi mencatat kemenangan sebanyak mungkin memandangkan setakat ini hanya menang sekali daripada empat perlawanan. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen