Sathianathan harap Felda beri masa kepada Azmi

Oleh Staff Writer 19 Oktober 2016 5
Sathianathan harap Felda beri masa kepada Azmi
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, berharap pihak pengurusan Felda United sentiasa memberi sokongan dan juga masa kepada Azmi Mohamed selepas bekas pengendali Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu dilantik sebagai jurulatih The Fighters untuk musim 2017.

Bagi bekas jurulatih kebangsaan berkenaan, Felda perlu berlaku adil kepada Azmi dan memberi ruang buatnya merangka perancangan pasukan itu untuk menghadapi musim baru.

Kerisauan Sathianathan adalah kerana pendekatan pengurusan beberapa pasukan sebelum ini, yang cepat mengambil keputusan drastik dengan mengubah jurulatih pasukan sebelum musim berakhir.

"Saya harap pihak pengurusan Felda memberi memberi Azmi masa, kerana kalau dia tidak mencapai apa-apa dalam musim pertama, mungkin dia tidak akan dapat kerja lagilah.

"Tetapi ia satu tanggungjawab yang agak berat untuk Azmi. Saya harap dia dapat mengatasinya dan berjaya dalam kerjaya bola sepak sebagai jurulatih," katanya.

Sathianathan juga menyarankan agar Azmi melakukan persiapan rapi menghadapi saingan musim depan yang pasti lebih mencabar memandangkan The Fighters juga akan terbabit dengan saingan Piala AFC.

Katanya, penglibatan di saingan peringkat Asia memerlukan sesebuah pasukan untuk bersedia mengharungi jadual padat, sama seperti dilalui JDT sejak musim lalu.

"Banyak kerja yang dia akan buat. Dia kena bersikap profesional dan setiap persiapannya mesti 100 peratus. Kita tidak boleh melengah-lengahkan dan mengambil sambil lewa sahaja. Anda perlu menggunakan pendekatan profesional," tambahnya.

Kelmarin, pihak pengurusan pasukan Felda mengesahkan pelantikan Azmi bagi tempoh setahun bermula musim 2017.

Bekas pemain kebangsaan era 90-an itu menggantikan Irfan Bakti Abu Salim yang melepaskan jawatan, susulan kegagalan mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) The Fighters, iaitu meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Pada musim 2016, Azmi, yang merupakan anak peneroka dari Rancangan Felda Bukit Wa Ha, Kota Tinggi, Johor dilantik memegang jawatan pegawai teknikal bagi memantau pergerakan pasukan-pasukan di bawah naungan Felda United.

Keputusan melantik Azmi juga diambil setelah mengambil kira pengalamannya dalam arena bola sepak negara, selain pernah membimbing JDT II.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen