Jurulatih Selangor, B. Sathianathan, hairan mengapa anak buahnya memilih jalan sukar sebelum mencetak kemenangan 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Selangor memiliki kelebihan daripada segala segi jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, namun skuad Gergasi Merah itu gagal bermain cemerlang.

Sathianathan merujuk kepada prestasi barisannya semalam yang gagal menampilkan aksi di tahap yang dimahukan hingga menyaksikan skuad tuan rumah terpaksa berhempas-pulas hingga ke penghujung permainan untuk mendapatkan mata penuh.

"Selangor menyusahkan diri sendiri apabila terlepas deretan peluang untuk menjaringkan gol. Saya agak kecewa dengan hantaran yang dipamerkan pemain-pemain. Aksi pasukan agak longlai dalam separuh masa kedua, namun meraih jaringan kemenangan menerusi sepakan penalti," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fat, gagal menyelindungkan rasa kecewa di atas kegagalan membawa pulang sebarang mata.

Sama ada prestasi pemain atau keputusan pengadil perlawanan, Yee Fatt mengharapkan penilaian sendiri daripada penyokong skuad Warga Kota.

"Kami tewas dan saya tidak gembira. Kami kehilangan mata pada penghujung permainan tetapi terpaksa menerima hakikat bahawa kami tewas dalam perlawanan ini," katanya.