Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, menjelaskan khidmat B. Sathianathan, ditamatkan kerana gagal mencapai piawaian semasa Liga Super -- terbaru apabila Selangor mengalami kekalahan besar 6-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Perubahan drastik tersebut diambil atas dasar usaha badan induk itu mahu memperbaiki kedudukan dalam kancah Liga Super dengan berbaki tiga perlawanan lagi menentang UiTM, PDRM dan Felda United.

"Saya berasakan penting untuk kami mengambil tindakan drastik. Rata-rata penyokong Selangor mahukan kejayaan diraih Selangor dan diharap sesuatu yang positif dapat terhasil musim ini," kata Johan.

Bagaimanapun, masih belum ada calon yang menggantikan Sathianathan dengan Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner, akan memikul tanggungjawab itu sehingga ketua jurulatih baru diumumkan.

"Michael akan membuat perancangan lebih awal bagi musim hadapan dan pihak pengurusan telah menghubungi dengan beberapa pemain bagi merombak pasukan sekaligus membuat persiapan bagi ketua jurulatih baru pasukan yang mengambil alih pasukan ini nanti."