"Apa saya boleh buat?"

Itu kenyataan ringkas ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang cukup untuk menggambarkan rasa kecewa pengendali berpengalaman itu.

Usaha untuk membawa pasukannya kembali ke padang menjalani latihan dengan menepati prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ternyata gagal.

Umpama dijadikan sebagai mangsa keadaan, usaha itu seolah-olah mencerminkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai pasukan yang degil dalam memberikan kerjasama ketika PKPB.

Berulang kali Sathianathan menegaskan usaha yang dilakukan FAS masih menepati garis panduan, namun atas alasan ia melibatkan modul latihan berprestasi tinggi, ia dinafikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur.

Lebih mengecewakan bekas pengendali kebangsaan itu, usaha yang dilakukannya disalah erti oleh sesetengah pihak walaupun ia mampu memberi manfaat kepada skuad senior negara.

"Mungkin tugas pihak pengurusan untuk jelaskan bahawa latihan boleh dijalankan tanpa sentuhan atau bola serta kumpulan kecil. Sebelum ini tidak boleh libatkan lebih 10 orang tetapi kini 20 orang. Namun, kerana kami yang keluarkan kenyataan untuk mulakan latihan, ia jadi begini," katanya.

"Sabar sahajalah. Sukar untuk seorang pemain, selepas 12 minggu tidak melakukan apa-apa. Bola sepak memang berbeza. Ia melibatkan individu dan berkumpulan. Kalau pemain luar seperti Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, mereka ada padang bola di rumah, jadi masih boleh bermain."

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agung, Stuart Ramalingam, senada dengan pendirian MFL.

Walaupun usaha Selangor dilihat proaktif, namun atas faktor keselamatan selain mengelak sebarang risiko kluster baru, apa yang dihajatkan skuad Gergasi Merah itu terpaksa dinafikan.

"Aktiviti riadah dan santai berbeza dengan latihan profesional. Ia perlu jelas. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL sentiasa memahami situasi ini tetapi jawapan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) adalah aktiviti sosial, bukan sukan," ujar Stuart.