Sathianathan akui Safawi ada kredibiliti beraksi di Eropah 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 Ogos 2020 553
Sathianathan akui Safawi ada kredibiliti beraksi di Eropah 
Kelayakan Safawi Rasid yang menerima tawaran kelab Liga Primera di Portugal, Portimonense, sudah lama dihidu oleh bekas jurulatih negara, B. Sathianathan. 

Menurut pengendali Selangor itu, Safawi Rasid sememangnya ada standard untuk beraksi di main di Eropah.

"Dari tahun lalu lagi saya sudah cakap Safawi layak main di Eropah. 

"Ketika itu secara rasminya saya beritahu bahawa dia boleh main di Jepun, Korea Selatan mahupun Eropah.

"Saya tidak terkejut apabila dia kini ditawarkan untuk bermain di Portugal. 

"Apa yang berlaku sesuatu yang bagus buat Malaysia. 

"(Lagipun) Dia dipilih Portimonense, tidak seperti situasi Luqman (Hakim Shamsudin ke KV Kortirjk di Belgium)," katanya dalam laporan wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam. 

Perkhabaran positif itu diumumkan Pengarah Sukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Martin Prest, di laman sosial Johor Southern Tigers dengan memaklumkan pihaknya sedia melepaskan Safawi untuk meneruskan karier di sana. 

Malah, pemain dari Terengganu itu juga mendapat lampu hijau daripada pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu akan menyertai kelab utama liga Portugal berkenaan selepas saingan Liga Malaysia (Liga-M) melabuhkan tirainya musim ini.

Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyifatkan penghijrahan Safawi sebagai perkara yang cukup positif buat arena bola sepak negara.

"Pemain muda pasti akan mencontohi langkah Luqman dan Safawi.

"Kalau lebih ramai bermain di luar negara, tahap bola sepak akan lebih meningkat pada masa akan datang," katanya. 

Safawi, yang turut tersenarai sebagai Penjaring Gol Terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sebelum ini pernah dilaporkan dirisik beberapa kelab di luar negara berdasarkan pretasinya ketika bersama skuad Harimau Malaya.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen