Sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super yang dijangkakan bermula Januari depan, Sarawak kini sedang menguji sekurang-kurangnya sembilan pemain import bagi mengisi tiga kekosongan pemain import.

Pengendali Ngap Sayot, David Usop berkata, pada musim ini hanya seorang pemain import yang dikekalkan iaitu pertahanan tengah, Teah Dennis.

"Kini saya sedang mencari pemain yang boleh mengisi slot serangan dan tengah," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Sarawak petang tadi.

Antara mereka yang mencuba nasib untuk pasukan Sarawak pada musim ini termasuklah bekas penyerang Bujang Senang pada musim 2013, Ivan Barbic dari Croatia, dan dua pemain Korea Selatan, Do Dong Yong, 23 tahun, Lee Jong Ho, 24 tahun.

"Turut menyertai pemilihan ialah pemain Sabah dari Brazil, Everton Souza Santos, pemain Filipina, Mark Andrew Hartman, 24 tahun, pemain Sepanyol, Autor Ramirez, 26 tahun dan pemain Argentina, Carlos Delgado, 31 tahun.

Difahamkan, dua lagi pemain iaitu dari Brazil dan Bosnia Herzegovina akan turut menyertai sesi ujian dalam masa terdekat.

David menjelaskan pemilihan pemain untuk pasukan Bujang Senang pada kali ini akan dilakukan secara berhati-hati.

"Kami tidak akan terburu-buru kerana mahukan pemain yang betul-betul berkualiti dan mampu mengikut rentak dan perancangan pasukan," jelasnya.

David membuat rombakan besar-besaran dalam skuad barunya kelak dengan membawa masuk lebih ramai pemain tempatan, termasuk dari skuad Piala Presiden dan Liga Bola Sepak Rakyat.

Antara pemain import tempatan yang tidak lagi bersama-sama pasukan baru termasuklah Mohd Iqbal Suhaimi, J. Parthiban, K Gurusamy, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd Akmal Mohd Noor, K Thanaraj dan Mohd Ridwan Ma'on.

Pemain import asing yang turut dilepaskan ialah Gilmar Jose da Silva dan Mekeche Ndumba.

"Lebih baik kami menggunakan khidmat pemain tempatan yang berbakat, berbanding menggunakan pemain import tempatan tetapi gagal memberi impak dalam pasukan.

"Dengan ini, kami dapat membuka peluang kepada mereka untuk mewakili pasukan serta mempamerkan bakat dan kebolehan di gelanggang Liga Malaysia," tegas David.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) setakat ini hanya mengekalkan tiga pemain tempatan iaitu Shahril Saari, Ramesh Lai Ban Huat dan pemain kebangsaan, Ronny Harun.