“Tiada impian besar. Dengan kemampuan dan kedudukan kewangan sekarang, kita hanya mensasarkan kedudukan yang lebih baik berbanding musim lalu.

“Jika pada musim lalu kita berkedudukan tempat kelapan, mungkin pada kali ini di kedudukan kelima dan keenam,” kata pengurus baharu pasukan Sarawak, Datuk Posa Majais.

Dengan merendah diri, Posa yang juga salah seorang Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak berkata, sebarang kejayaan yang melangkaui sasaran itu adalah “bonus” dan amat diharapkan.

“Cuma kita berpijak di bumi nyata dan bersikap realistik. Kita bergantung 90 peratus kepada pemain-pemain tempatan, dan tidak mampu untuk memancing pemain-pemain terbaik dari pasukan lain,” jelasnya pagi tadi.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan tajaan jersi kepada pasukan futsal negeri, yang akan menyertai perlawanan kelayakan bagi menyertai Pusingan Kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017 di Kuching.

Jelas Posa, dalam menghadapi saingan Liga Super tahun hadapan, anak-anak buahnya yang dibimbing ketua jurulatih David Usop telah bersiap sepenuhnya.

“Petang ini rombongan skuad Ngap Sayot akan memulakan program jelajah Australia bagi menentukan siapakah yang akan berada dalam kesebelasan utama kelak.

“Pada masa yang sama , jelajah itu juga akan menjadi medan untuk mengintai pemain-pemain import yang boleh diserap masuk ke dalam pasukan ini, terutamanya di posisi penyerang.

“Ketika ini kita masih kekosongan satu lagi kuota import dan berharap dapat merisik pemain berbakat menerusi tiga perlawanan persahabatan yang dijadualkan di sana.

Kata Posa lagi, seandainya tidak ada pemain dalam aksi ini yang memenuhi cita rasa David, beberapa pemain luar yang lain akan dipanggil untuk menjalani ujian.

“Ada beberapa liga yang akan berakhir pada penghujung bulan ini dan kita akan memanggil mereka sebaik sahaja kejohanan liga itu tamat,” katanya lagi.

Sarawak kini telah mengikat tiga pemain iaitu Teah Dennis, yang dikekalkan dari musim lalu, Mark Andrew Hartman dari Filipina dan Lee Jong Ho dari Korea.

“Bagaimanapun kita tidak terburu-buru untuk mengisi kuota terakhir ini.

“Kita mahu pemain yang benar-benar berkaliber dan berkemampuan, serta tidak merugikan.

Kerana itu katanya, pasukan pengurusan begitu berhati-hati, agar pemain tersebut benar-benar mampu untuk menggalas tugas yang dipertanggungjawab.

“Kita ada sehingga 21 Januari untuk proses pendaftaran pemain, dan kita akan menggunakan sepenuhnya masa itu, untuk mencari pemain yang boleh memberikan impak kepada skuad Ngap Sayot,”jelasnya lagi.

Bagi menyemarakkan lagi semangat pasukan ini, difahamkan satu program bersama bekas-bekas pemain negeri seperti John Hunter, David Evans dan Alistair Edwards serta jurulatih Alan Vest, serta barisan pemain veteran Sarawak akan diadakan di Kuching sebelum aksi sepak mula Liga Super pada tahun depan.

“Ia bagi membangkitkan nostalgia bahawa Sarawak pernah bergelar juara dan menjadi antara pasukan yang disegani di negara ini,” kata Posa, yang belum menentukan bila tarikh sebenar program berbentuk karnival itu.

Pada masa yang sama, difahamkan Sarawak akan menjalani dua lagi perlawanan persahabatan kompetetif iaitu menentang Melaka United dan Perak, sebelum perlawanan pembukaan tersebut.

Skuad Bujang Senang ini akan berada di bumi kanggaru selama 10 hari.