Santokh Singh bidas FAS enggan restui penyertaan PKNS

Oleh Staff Writer 28 November 2016 12
Santokh Singh bidas FAS enggan restui penyertaan PKNS

"Jangan nafikan hak kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan bola sepak negeri Selangor," demikian peringatan legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh, yang kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak memberi sokongan terhadap PKNS FC beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Bagi Santokh, PKNS sudah lama memainkan peranan dalam pembangunan bola sepak Selangor, dengan ramai bekas pemain negeri itu pernah berkhidmat di PKNS pada era 70-an hingga 80-an sebelum lahirnya saingan liga semi-pro pada 1989.

Bekas tonggak pertahanan negara ini tidak dapat memahami tindakan FAS yang mahu menafikan pembabitan kelab itu dalam Liga Malaysia musim depan walaupun sudah 12 tahun PKNS mewarnai kancah liga tempatan.

"Kamu bercakap mengenai pasukan yang telah melahirkan pemain seperti Datuk Mokhtar Dahari, (R) Arumugam, (Datuk K.) Rajagopal, Reduan Abdullah dan diri saya sendiri, kami semua datangnya dari PKNS.

"Jadi, saya rasa tindakan mereka tidak betul," jelasnya.

Santokh juga berasa pengurusan PKNS FC kini turut komited dengan program pembangunan akar umbi dan secara tidak langsung masih membantu menghasilkan produk pemain buat negeri Selangor.

"Saya rasa program mereka sangat baik kerana mereka membangunkan akademi mereka sendiri dan mempunyai pusat latihan sendiri.

"Mereka sepatutnya dibenarkan untuk beraksi dalam Liga M kerana mereka beraksi dengan cukup baik dalam Liga Perdana sehingga mengesahkan slot ke Liga Super musim depan. Perkembangan itu baik untuk bola sepak di negeri Selangor," tambahnya lagi.

Laporan Nadi Arena, Jumaat lalu, mendedahkan tindakan FAS untuk tidak memberi sokongan kepada PKNS beraksi dalam Liga M musim depan.

Selaku ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), FAS menggunakan peruntukan peraturan pertandingan 4.1.3 (I), iaitu hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negeri serta mematuhi pertandingan FAM layak menyertai liga.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen