Persiapan Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan musim 2018 semakin rancak dengan berdepan ujian tiga kelab Kemboja bulan depan.

Pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, mengesahkan skuad bimbingannya akan bertemu Svey Rieng FC (6 Januari), Army FC (8 Januari) dan Phnom Penh Crown FC (9 Januari).

Tiga aksi pemanas badan itu menjadi medan terbaik menguji kecergasan dan keserasian TFC sebelum sepak mula Liga Super yang disifatkannya semakin mencabar.

Menurut Irfan, kelibat lima pemain importnya juga diharap dapat menyesuaikan diri dengan rakan-sepasukan selain membuktikan keupayaan merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Sekembalinya kami dari Kemboja, pemain-pemain akan berehat sebelum saingan empat penjuru Piala Menteri Besar pada 15 Januari.

“Barisan pemain perlu berada pada tahap terbaik kerana Liga Super akan membuka tirai pada 3 Februari,” ujarnya.