Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Tan Sri Musa Aman, berharap Sang Badak akan mencapai keputusan lebih baik dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata prestasi skuad utama negeri itu pada musim ini adalah lebih baik berbanding beberapa musim lalu.

"Musim ini (Liga Malaysia) lebih baik berbanding tahun lalu dan bagi musim 2018, kita mahu buat lebih baik...mungkin (sasaran) ke Liga Super.

"Kita faham ramai peminat kecewa kerana kita belum sampai ke tahap terbaik, termasuk layak ke Liga Super.

"Mereka semua ingin lihat pasukan kita berjaya dan kita perlu berusaha lebih gigih ke arah itu," katanya ketika berucap sempena majlis penyampaian hadiah Piala Ketua Menteri (KM) Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi.

Musa berkata untuk mencapai sesuatu kejayaan pada musim depan, semua pihak harus memberi komitmen tinggi, khususnya pemain.

"Saya yakin jika pemain mempunyai disiplin tinggi serta memiliki kesungguhan untuk berjaya, nama pasukan Sabah akan dapat dijulang," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi SAFA sentiasa menyokong serta berusaha bagi membantu pasukan Sabah berjaya, terutama dari segi kewangan.

"Saya akui tidak memiliki banyak masa bersama SAFA kerana banyak komitmen lain selaku Ketua Menteri.

"Bagaimanapun, sekiranya ada mana-mana pihak dari SAFA yang ingin bertemu, saya sentiasa bersedia untuk berjumpa dengan mereka bagi membincangkan perkara-perkara perlu demi kebaikan bola sepak negeri Sabah.

"Kami juga berusaha bagi memastikan kewangan SAFA sentiasa baik, ia memerlukan jutaan ringgit. Saya akan terus berusaha mencari kewangan sebanyak yang boleh bagi menampung keperluan SAFA," katanya.

Terdahulu, beliau berkata Piala KM Sabah yang mula dianjurkan sejak lima tahun lalu telah banyak memberi manfaat kepada arena bola sepak di negeri berkenaan.

"Bagaimanapun, walaupun ia memberi manfaat kepada kita, ia belum sampai kepada tahap yang dinginkan.

"Saya sangat berharap pertandingan ini (Piala KM Sabah) mampu melahirkan pemain-pemain berbakat serta berpotensi kerana sukan bola sepak bukan lagi sekadar hobi, iaa satu kerjaya," katanya.

Dalam kejohanan Piala KM Sabah kali ini, pasukan Kota Kinabalu muncul juara selepas menewaskan Beaufort 2-0 dalam final.

Tempat ketiga pula menjadi milik Keningau selepas menundukkan Tawau 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.