Tonggak baru Selangor, Safuwan Baharudin, mengakui impiannya menjadi kenyataan apabila berpeluang menyarung jersi pasukan kegemarannya sejak kecil untuk cabaran Liga Malaysia musim depan.

Safuwan mencetus sensasi apabila menyertai skuad Gergasi Merah itu sebagai pemain import kuota ASEAN untuk saingan musim depan.

Berhijrah daripada pasukan Pahang, pemain kelahiran Singapura itu mempunyai nostalgia tersendiri bersama juara 33 kali Piala Malaysia itu.

Safuwan mendedahkan dia kerap menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor, terutama ketika Dollah Salleh mewakili pasukan itu.

"Saya sangat gembira kerana dapat berhijrah menyertai Selangor, sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan berharap untuk membantu pasukan kembali ke zaman kegemilangannya," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan lima kuota import Selangor selepas Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengekalkan Rufino Segovia, Ifedayo Olusegun, Sandro da Silva dan Taylor Regan.

Mampu beraksi di dua posisi, iaitu pertahanan dan tengah, Safuwan sedia menggalas tugas yang diberikan untuk memastikan kejayaan buat pasukannya.

"Kami akan menghadapi perlawanan persahabatan esok dan ia akan menentukan tempat saya beraksi dalam pasukan ini, namun saya sentiasa bersedia untuk diturunkan mengikut arahan jurulatih."